Khamis, 20 Ogos 2009

Salam Ramadhan & Adab Berpuasa...

Assalamualaikum

SMU ingin mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada seluruh warga kampus UPSI. Diharap Ramadhan kali ini kita mendapat kenikmatan dan kemudahan dariNya. SMU mengambil kesempatan di sini untuk berkongsi adab-adab ketika berpuasa agar kita semua mendapat puasa yang afdal.

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.


Setakat itu sahaja perkongsian ilmu berkaitan puasa untuk sahabat-sahabat sekalian. Diharap di bulan ini kita dapat mengimarahkan masjid-masjid dan surau-surau berhampiran. InsyaAllah.Diharap semua mahasiswa/wi dapat mengurangkan dan percaya terhadap fitnah-fitnah yang berleluasa di UPSI. Diharap anda mendapatkan maklumat yang betul dan tepat. Jangan membuat sebarang spekulasi dengan andaian-andain sendiri. Juga minta tolong jangan sebarkan maklumat yang anda sendiri tidak tahu kesahihannya. Rujuk kepada yang mengetahuinya dengan lebih betul.
Untuk H1N1; tidak ada sebarang kematian dilaporkan di UPSI & UPSI tidak perlu merahsiakan kepada mahasiswa/wi berhubung isu ini kerana ianya perkara yang melibatkan nyawa. Fikirlah secara rasional dan bukan dengan emosi. Sebarang maklumat berkaitan H1N1 anda bleoh dapatkan di pusat kesihatan UPSI dan tidak membuat cerita-cerita atau khabar angin supaya mendapatkan cuti sebulan. Harap maklum! Akhir kata kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi.

SEKALI BERSAHABAT, SELAMANYA BERSAHABAT

Wassalam!!!

Tiada ulasan: