Rabu, 16 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Assalamualaikum wr. Wb.

Disekempatan ini SMU ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua warga UPSI. Di bulan yang mulia ini SMU memohon berjuta kemaafan kepada semua warga UPSI sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja.

Disini juga SMU ingin mengucapkan selamat bercuti dan berhati-hatilah semasa pulang ke kampung halaman. SMU difahamkan bahawa ramai pelajar akan menaiki bas menuju ke rumah masing-masing terutamanya pelajar ke Pantai Timur, Selatan dan Utara tanah air.

SMU juga ingin mengingatkan kepada pelajar-pelajar bahawa berpada-padalah dalam merayakan sambutan Hari Raya kerana perjuangan kita masih lagi jauh dan jangan abaikan pelajaran untuk menjadi pendidik suatu hari nanti..Sayangi Universiti Kita..

“Sekali Bersahabat, Selamanya Bersahabat”


Jumaat, 11 September 2009

Elaun DPLI rabu ini dan InsyaAllah sebelum menjelang Aidilfitri!!!

Elaun DPLI hari Rabu

Assalamualaikum
Kali ini SMU ingin memberitahu seluruh warga DPLI UPSI bahawa elaun anda akan dikreditkan pada hari rabu ini. Apabila SMU berjumpa dengan Bendahari pagi tadi, Bendahari UPSI memberitahu bahawa akaun warga DPLI akan dikreditkan pada hari rabu ini 16 September 2009.
SMU juga diberitahu bahawa pelajar DPLI akan menerima elaun mereka sebelum sambutan Aidilfitri pada tahun ini. Ini adalah kata-kata daripada bendahari UPSI kepada SMU dan meminta SMU menyebarkan kepada seluruh warga DPLI UPSI agar bersabar dan yg paling penting tidak membandingkan UPSI dengan universiti lain. Sebarang kesulitan harap dimaafkan.

Salam Aidilfitri kepada seluruh warga kampus dan SMU berharap supaya berhati-hati ketika pulang ke kampung dan berharap semuanya gembira di hari lebaran ini. Jangan ada yang terlupa terutamnya pelajar ISMP, selepas cuti raya ini kita ada peperangan di dewan peperiksaan.

SEKALI BERSAHABAT, SELAMANYA BERSAHABAT

Wassalam!

Isnin, 7 September 2009

Nuzul Al-Quran dan Malam Lailatul Qadar...

Assalamualaikum
Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan.
Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).


SMU berharap sama-samalah kita menghayati Nuzul Al-Quran & malam lailatul qadar.
SEKALI BERSAHABAT, SELAMANYA BERSAHABAT
Wassalam

Ahad, 6 September 2009

Majlis Berbuka Puasa MAJOR

Majlis Berbuka Puasa lagi…

Assalamualaikum…

Perhatian kepada semua anak-anak kelahiran negeri Johor, anda dijemput untuk menghadiri satu majlis berbuka puasa anjuran Mahasiswa Anak-Anak Johor (MAJOR). Semua SMU kelahiran Johor juga dijemput untuk menghadiri majlis ini. Selain itu, semua urusetia kem kepimpinan kecemerlangan SPM daerah Kota Tinggi juga dijemput hadir bersama-sama untuk memeriahkan majlis ini.

Berikut maklumat yang berkaitan:

Tarikh : 6 September 2009
Masa : 6 petang
Tempat: Bitarasiswa UPSI
VVIP : Dato Adham Baba.
VIP : Prof Dato Dr Aminah Ayob
Anjuran : Mahasiswa Anak-anak Johor (MAJOR)

Diharap semua yang berkaitan hadir bagi sama-sama memeriahkan lagi majlis berbuka puasa ini.

SEKALI BERSAHABAT, SELAMANYA BERSAHABAT

Wassalam...

Jumaat, 4 September 2009

Majlis berbuka Puasa Sekteriat Pesta Konvokesyen dan Sekteriat Minggu Suai Kenal

Majlis berbuka Puasa Sekteriat Pesta Konvokesyen dan Sekteriat Minggu Suai Kenal

Assalamualaikum.

Perhatian kepada semua sekteriat minggu suai kenal ambilan Julai 09/10(SMS) dan sekteriat Pesta Konvokesyen ke-11 sidang 2, hari ini akan diadakan satu majlis berbuka puasa. Ini adalah satu usaha bagi menghargai penglibatan mahasiswa/wi UPSI supaya sentiasa membantu universiti dalam program-program besar universiti. Selain itu, ia juga satu usaha atau ucapan terima kasih daripada pihak penganjur iaitu Majlis Perwakilan Pelajar kepada sekteriat. Saudara Hairie selaku YDP MPP mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua sekteriat kerana menjayakan kedua-dua program tersebut. Bagi membalas jasa, pengorbanan mahasiswa/wi sepanjang MSK dan Pesta Konvokesyen, MPP menjempt untuk memeriahkan lagi Majlis Berbuka Puasa ini.

Berikut adalah maklumat berkaitan majlis tersebut:

Tarikh : 4 September 2009
Masa : 6.30 petang
Tempat : Bitarasiswa UPSI
Anjuran : Majlis Perwakilan Pelajar
Jemputan : Semua Sekteriat Minggu Suai Kenal & Sekteriat Pesta Konvokesyen


Diharap, semua sekteriat bersama-sama memeriahkan lagi majlis berbuka tersebut. Pada masa yang sama juga SMU ingin menasihatkan kepada mahasiswa/wi agar berhati-hati pulang ke kampung memandangkan ramai mahasiswa/wi yang pulang ke kampung berikutan cuti Hari Isnin sempena Nuzul Al-Quran.

Sekali Bersahabat, Selamanya Bersahabat
Wassalam

Selasa, 1 September 2009

SMU mendokong Aspirasi UPSI dan UPSIKINI patut dijauhi oleh mahasiswa/wi UPSI

SMU mendokong ASPIRASI UNIVERSITI

Aspirasi universiti ialah satu ideologi di mana individu sepatutnya menyokong dan mendukung aspirasi universiti bagi mencapai visi dan misi universiti. Ia merupakan satu ideologi mahasiswa bukan sahaja di UPSI malah di seluruh IPTA Malaysia yang senantiasa menyokong kepimpinan universiti bagi melaksanakan dasar-dasar universiti. Ingat, ASPIRASI UNIVERSITI bukan satu kumpulan, bukan satu parti politik di kampus mahupun satu gerakan underground mahasiswa. Ia merupakan pemahaman dan satu gagasan yang sepatutnya difahami oleh seluruh warga kampus.

Di UPSI, Kelab Sahabat Mahasiswa UPSI sentiasa mendukung aspirasi universiti bagi melaksanakan dasar-dasar universiti bersama-sama kepimpinan universiti bagi mencapai matlamat visi dan misi universiti. Walau bagaimanapun, pemahaman ini disalah ertikan oleh segenap mahasiswa bahawa aspirasi merupakan anjing HEP yang mengampu atau golongan yang gila kuasa di UPSI. Ini merupakan dakwaan atau tanggapan yang patut dijauhi oleh mahasiswa. Hanya orang yang menyayangi universiti sahaja yang tahu tentang aspirasi universiti. Golongan yang menyokong aspirasi universiti ialah golongan yang aktif di peringkat universiti mahupun di peringkat antarabangsa.

Mahasiswa/wi UPSI seharusnya bersama-sama ASPIRASI universiti dan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti. Aktiviti yang dianjurkan di peringkat universiti ialah aktiviti bersama aspirasi universiti dan bukan untuk diboikot dan sebagainya. Orang yang tahu membuat demonstrasi, boikot, dan merosakkan aktiviti universiti merupakan orang yang tidak menyayangi universiti, malah ini merupakan golongan yang tidak tahu tentang universiti. Mahasiswa yang tidak menyokong aspirasi universiti merupakan mahasiswa yang dikategorikan sebagai PEMBANGKANG. Ini kerana sekiranya melanggar atau memboikot dasar-dasar universiti, golongan ini dikatakan pembangkang aspirasi universiti.

SMU ingin tekankan bahawa SMU bersama Aspirasi universiti kerana SMU menyayangi UPSI dan bangga sebagai anak kandung suluh budiman. ASPIRASI UPSI, SAYANGI UNIVERSITI KITA. InsyaAllah. Jauhi daripada golongan yang cuba memporak-perandakan universiti kita.

UPSIKINI baru-baru ini mendakwa antara soalan temu duga SMU ialah pandangan mahasiswa terhadap blog upsikini. Ini merupakan satu fitnah dan satu dakwaan yang tidak masuk akal. Kadang-kadang SMU masih tidak faham dengan UPSIKINI kerana ia mendakwa ia merupakan sumber maklumat yang sahih sedangkan apa yang diberitahu dan apa yang dinyatakan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni merupakan perkara yang bercanggah.

UPSIKINI patut dijauhi mahasiswa kerana:

Bukti 1: UPSIKINI cuba membawa POLITIK LUAR masuk ke dalam kampus dan cuba mempengaruhi mahasiswa UPSI untuk menyokong parti-parti tertentu. Contoh paling mudah, isu Audi yang ingin dibawa ke parlimen. Ini bukan isu mahasiswa atau isu yang boleh meningkatkan keintelektualan mahasiswa, malah ia merupakan satu perkara bagi menghasut mahasiswa.

Bukti ke-2 ialah dakwaan berkaitan DPLI dan ISMP. Apabila UPSIKINI disekat oleh pihak JARING, maka mahasiswa ISMP tidak boleh melayari UPSIKINI, jadi pihak UPSIKINI cuba membangkitkan dan melaga-lagakan mahasiswa ISMP dengan mahasiswa DPLI baru-baru ini.

Bukti ke-3 Upsikini hanya berat sebelah kerana sentiasa menulis tentang Pro Kebajikan Mahasiswa UPSI. Maklumatnya sentiasa berat sebelah seolah-olah barisan tampuk kepimpinan MPP 08/09 hanya Pro kebajikan sahaja yang bagus sedangkan SMU tidak nampak MPP pro kebajikan berada di pejabat untuk bertugas, malah kerja mereka diambil alih oleh MPP lain. Satu lagi, Tidak ada satu manifesto yang berjaya dilaksanakan oleh MPP pro kebajikan berbanding MPP Pro kualiti.

Berikut 3 Manifesto MPP Kebajikan yang tidak terlaksana sehingga hari ini.

Akmal Bin Madzir
Fakulti Sains Dan Teknologi
Pendidikan Sains
Exco Latihan Dan Pembangunan Sahsiah
Mengusulkan Pada Pihak Ptptn Untuk Tidak Menolak Wang Pendahuluan Rm 1500 Secara Pukal Tapi Ditolak Secara Beransur-Ansur.
Menjaga Kebajikan Mahasiswa Di Segenap Sudut.

Nur Aqilah Hanis Bt Mohd Yusoff
Fakulti Sains & Teknologi
Exco Akademik Dan Kerjaya

Mengurangkan 30% Kadar Denda Di Upsi

Menyediakan Kemudahan Pengangkutan Kepada OkuMemohon Ptptn Mengkaji Semula Pemberian Pinjaman Kepada Para Peminjam

Norhafizawati Binti Mahmad Rozali
Sains Dan Teknologi
Pendidikan Sains Biologi

Exco Latihan Dan Pembangunan Sahsiah
Mengurangkan Kadar Denda Di Fakulti
Menambahkan Bilangan Study Week Kepada Dua minggu
Menambah Alat Radas Baru Di Makmal Fst Untuk Memudahkan Eksperimen


Daripada manifesto di atas, MPP pro kebajikan tidak melaksanakan satu pun manifesto mereka.


Ada beberapa perkara lagi yang akan dibongkar berkaitan UPSIKINI tidak lama lagi, Apabila di tanya ke Pejabat Dato Naib Canselor, Dato menyatakan terlalu banyak FITNAH dan berita PALSU yang disebarkan dalam blog tersebut dan telah diarahkan oleh pihak jaring untuk disekat supaya mahasiswa tidak diporak-perandakan oleh segelintir mahasiswa yang taksub dengan politik luar. Selain itu, pihak polis sedang menyiasat tentang penulis UPSIKINI dan ia masih dalam siasatan oleh pihak JARING dan POLIS. Apabila diketahui, maka pihak UPSI akan mengambil tindakan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Perkara yang paling utama adalah disebabkan penyebaran berita palsu berkaitan H1N1.

SMU mengingatkan sekali lagi agar seluruh mahasiswa bersama-sama ASPIRASI UNIVERSITI dan menyayangi UPSI dan bukannya menjadi golongan yang memporak-perandakan keharmonian UPSI seperti pihak UPSIKINI.

Sekali bersahabat, selamanya bersahabat.

Wassalam.