Ahad, 19 April 2009

Kecewa dengan Akmal Madzir (MPP 08/09)...

Assalamualaikum

SMU kali ini amat tidak berpuas hati terhadap desas desus keputusan majlis perwakilan pelajar iaitu saudara Akmal Madzir. SMU bukanlah marah atau geram, tetapi SMU agak kecewa kerana SMU difahamkan saudara Akmal Madzir tidak mahu meneruskan pertandingan Tilawah Al-Quran IPTA di UPSI seperti yang dilakukan oleh MPP sebelum ini. SMU difahamkan tindakan Akmal Madzir yang tidak mahu uruskan pengendalian Tilawah Al-Quran IPTA ini disebabkan oleh penganjuran simposium Exconya. Adakah saudara Akmal Madzir tidak mampu mengendalikan program seumpama itu atau tidak mendapat sokongan dari pihak MPP yang sedia ada? Semuanya desas desus. Diharap Akmal Madzir memberitahu kepada warga UPSI adakah perkara ini betul atau sekadar desas desus sahaja?

Tilawah Al-Quran IPTA setiap tahun diberi kepercayaan kepada UPSI untuk menganjurkan oleh MPP dengan kerjasama JHEPA UPSI. SMU merasakan penganjuran Tilawah Al-Quran ini merupakan satu platform memperkenalkan UPSI kepada IPTA lain bahawa UPSI mampu mengendalikan program-program besar seumpama itu sekali gus membuka peluang kepada warga UPSI untuk bekerjasama dalam penganjuran aktiviti kerohanian seperti itu. Tetapi SMU masih tidak faham mengapa Akmal Madzir yang menang undian tertinggi PRK yang lepas teragak-agak untuk menerima pelawaan penganjuran Tilawah Al-Quran tersebut.

SMU tidak mengkhusus pada Akmal Madzir dengan melulu, ini kerana setiap kali penganjuran Tilawah Al-Quran IPTA akan dikendalikan oleh Exco Latihan dan pembangunan sahsiah. Oleh itu Akmal Madzir dan Noor Hafizawati (exco latihan dan pembangunan sahsiah sekarang) yang bertanggungjawab dalam pengendalian Tilawah Al-Quran IPTA tersebut.

SMU terkilan juga dengan sikap beberapa MPP kerana melepaskan peluang keemasan ini. SMU berharap agar desas desus ini tidaklah benar dan berharap agar Tilawah Al-Quran akan diteruskan di UPSI seperti tahun-tahun yang sudah.

SEKALI BERSAHABAT SELAMANYA BERSAHABAT

Wassalam!!!

Exam o exam...

Assalamualaikum..

SMU ingin ucapkan selamat menghadapi peperiksaan kepada seluruh warga kampus UPSI. SMU berharap agar ramai yang akan disenaraikan dalam senarai dekan pada masa akan datang. SMU juga ingin mengambil kesempatan untuk meminta maaf kepada seluruh warga kampus sekiranya membuat pihak-pihak tertentu tersinggung atau terasa. Diharap, semua mahasiswa UPSI dapat berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang pada semester ini.
SEKALI BERSAHABAT SELAMANYA BERSAHABAT!!!
Wassalam!!!

SMU di Malam Anugerah Kolej-kolej kediaman UPSI 2008/2009

Assalamualaikum

Anugerah kolej-kolej kediaman telah berlangsung di Dewan Zaaba pada 18 April 2009 yang lalu. Oleh sebab beberapa SMU telah berjaya dalam pengendalian malam Anugerah Keterampilan sebelum ini, SMU dijemput khas sekali lagi oleh En Mohd Raizol ( Felo KUO) bagi mengendalikan semula malam anugerah kolej-kolej kediaman UPSI kali ke-5.

SMU telah mengendalikan dengan baik sekali dan secara keseluruhan anugerah yang dijalankan dapat pujian daripada JHEPA dan pentadbiran kolej-kolej kediaman kerana pengendalian majlis yang begitu profesional. Kemuncak malam tersebut diserikan dengan food presentation yang merupakan idea daripada saudara Mohd Shahrir Abdullah, Abdul Rashid, Ahmad Suizuddenn serta Khairul Faiz yang menjadi sebutan oleh JMK-JMK kolej kerana begitu baik sekali pelaksanaanya.

Tahniah juga kepada penganjur,KUO kerana telah berjaya mengendalikan malam anugerah tersebut dengan jayanya. Diharap malam anugerah tahun akan datang dapat dianjurkan dengan idea yang baru oleh kolej lain.

SMU juga ingin ucapkan terima kasih kepada pihak pentadbiran KUO kerana menjemput SMU sekali lagi dalam penganjuran malam anugerah selepas Karnival Semarak Warisan tempoh hari. Tahniah kepada pemenang-pemenang JMK yang telah berjaya menggondol pelbagai anugerah malam tersebut dan diharapkan dapat dikekalkan apabila berada di sekolah kelak.

Sekian...

SMU dalam Anugerah Ketrampilan Pelajar 2008/2009

Assalamualaikum

Beberapa SMU terlibat dalam penganjuran majlis Anugerah Ketrampilan Pelajar yang telah berlangsung 14 April yang lepas. SMU seperti saudara Shahrir Abdullah, Abdul Rashid Husain, Ahmad Suizuddeen dan Ina. Keempat-empat SMU ini dijemput khas oleh JHEPA untuk mengendalikan Malam Anugerah tersebut atas kredibiliti masing-masing dalam pengendalian program sebelum ini. Alhamdulillah, SMU dapat melihat program tersebut berjalan dengan lancar. Satu pengendalian program yang sangat tersusun dan profesional seolah-olah dikendalikan oleh organisasi di luar. Tahniah dan syabas.

SMU ingin ucapkan tahniah kepada semua yang telah berjaya pada malam tersebut dan berharap agar kepimpinan yang dimenangi akan diaplikasikan di sekolah kelak. InsyaAllah. Pada masa akan datang juga SMU berharap, banyak lagi penyertaan daripada mahasiswa-mahasiswi untuk terus mengaktifkan diri di UPSI dan bersaing secara sihat untuk merebut anugerah-anugerah yang dipertandingkan sepanjang 2009

Wassalam

8 mahasiswa UPSI di Bukit Gantang

Assalamualaikum

Untuk pengetahuan semua mahasiswa UPSI, SMU mendapat maklumat bahawa terdapat 8 orang mahasiswa UPSI yang akan disabitkan kesalahan AUKU kerana menjadi peraih undi di Bukit Gantang tempoh hari. SMU juga difahamkan aktiviti ini disertai oleh beberapa orang dari Majlis perwakilan pelajar juga yang menjadi peraih undi di Bukit Gantang. Pihak HEP akan mengambil tindakan pada mahasiswa tersebut dalam tempoh masa terdekat ini.

Harap maklum!!!

Khamis, 2 April 2009

JKS-RKS-SMU-JKS-SMS (Satu Transformasi)

JKS – RKS – SMU – JKS – SMS (Satu Transformasi)

Assalamualaikum…

Transformasi merupakan satu perkara yang baik dan merupakan satu perubahan yang perlu dilakukan di mana-mana dalam sesebuah organisasi. Begitu juga, dengan perubahan terhadap pengendalian Minggu Suai Kenal di Universiti Pendidikan Sultan Idris yang sentiasa berubah-ubah. Bermula dengan Jawatankuasa Minggu suai kenal (JKS) kemudian kepada Rakan Suai Kenal (RKS) diikuti dengan penubuhan SAHABAT MAHASISWA UNIVERSITI (SMU). Pada kali ini, SMU ingin menulis tentang asal usul SMU itu sendiri. Penubuhan SMU sebenarnya adalah untuk pengendalian Minggu Suai Kenal (MSK) sejak tahun 2005 di bawah pimpinan Prof Abdullah Hadi, iaitu bekas TNC HEPA UPSI ketika itu. Dahulu, SMU memang gah di mata mahasiswa universiti ketika itu sehingga semua program universiti akan diminta dikendalikan oleh SMU dengan kerjasama MPP. SMU menjadi platform yang besar kepada mahasiswa UPSI bagi melahirkan pemimpin dalam pucuk kepimpinan universiti pada masa dahulu hingga sekarang. Siapa tidak kenal, saudara Mohd Faizul (Atok), Nur Atiqah, Raimi Rahim, Izlan Izwali, Dzulhelmi, Izi Nasuriddin, Hairie Abdullah, Fahmi, Mohd Ridzuan, Khairul Faiz, Khasyatul Rodziah, Nur Azlizan, dan lain-lain lagi. Semua kepimpinan diperingkat kolej, persatuan mahupun di MPP itu sendiri berpunca daripada SMU itu sendiri.

SMU juga merupakan tulang belakang universiti pada masa dahulu hingga sekarang kerana aktiviti yang melibatkan orang atasan universiti dan pihak-pihak luar dalam UPSI biasanya akan dikendalikan oleh SMU. SMU merupakan pendukung aspirasi universiti sejak dahulu lagi dimana sentiasa bersama-sama UPSI dalam apa jua keadaan pun.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, SMU menjadi satu tanda tanya kepada semua mahasiswa UPSI kerana ianya dipersoalkan tentang kerelevanan dan kebolehannya. Banyak yang mengatakan SMU ini merupakan konspirasi pihak JHEPA dan tidak memberi peluang kepada warga UPSI yang lain. Pengetua-pengetua kolej juga mempersoalkan keistimewaan SMU di peringkat JHEPA sehingga MSK Disember lepas diminta untuk dikendalikan oleh Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) dan diberi nama JKS semula. Seolah-olah transformasi yang begitu besar di UPSI. Penulis mendapati, apabila berlaku keadaan ini, core business SMU itu sendiri iaitu MSK telah dirampas dan dipersoal oleh pihak-pihak tertentu.

SMS atau Seketeriat Minggu Suai Kenal pula ditubuhkan oleh MPP untuk menutup semua tohmahan kepada SMU sebelum ini. SMS dibuka kepada semua warga UPSI kerana kononnya sebelum ini MSK adalah konspirasi antara pihak JHEPA dengan SMU dan tidak diberi peluang kepada warga UPSI lain. SMS dijangka akan disertai oleh MPP, JMK-JMK kolej, Persatuan-Persatuan UPSI, dan semua warga UPSI. Kononnya untuk berlaku adil kepada semua warga kampus.

Apabila kewibawaan SMU dipersoalkan antara impak yang begitu besar SMU nampak adalah UPSI akan ketandusan pelapis-pelapis menerajui kepimpinan di peringkat universiti kelak. Satu ketika dahulu, SMU pernah di cop PMS iaitu PROGRAM MUKA SAMA kerana semua program akan dihadiri oleh SMU. Ini bukan kerana konspirasi dari mana-mana pihak, tetapi ini adalah satu semangat atau perasaan sayang pada UPSI itu sendiri sangat ditekankan oleh SMU.

Penulis ingin mengatakan, mahasiswa UPSI lesu dan biasanya tertumpu pada kolej-kolej kediaman sahaja, Tetapi, program yang dikendalikan oleh JMK kolej juga tidak disertai oleh golongan mahasiswa ini. Ke mana mahasiswa UPSI sekarang ini??? Mengapa semua program yang dianjurkan tidak disertai atau tidak mendapat sambutan daripada mahasiswa UPSI? Beginikah dikatakan BITARA? Tepuk dada tanyalah minda anda masing-masing…

Walau bagaimanapun, penulis merasakan transformasi yang dilakukan akan membuka mata semua pihak dalam pengendalian MSK itu sendiri. Persoalan sekarang, adakah SMS itu diwakili oleh SMU juga? Kalau ada pun, bukan sebab konspirasi mana-mana pihak tetapi perasaan SAYANG PADA UPSI. Ini kerana SMU percaya SEKALI BERSAHABAT SELAMANYA BERSAHABAT… SMU bukan musuh mana-mana pihak. MAAF pada mana-mana pihak yang tersinggung atas penulisan ini.

Wassalam